Nak ajar anak tentang Allah? Ini 7 Cara Mudah Mengajar Anak Mengenal Allah


Sebagai ibu bapa muslim, anda wajib memberikan didikan kepada anak anda tentang adanya Tuhan yang Esa iaitu Allah. Pastinya ia satu cabaran buat ibu bapa untuk menerangkan supaya anak anda faham tentang konsep mentauhidkan Allah.

Anda perlu ingat, anak anda masih kecil untuk memahami segala penjelasan yang terlalu berat. Cukup sekadar anda menunjukkan bukti-bukti, jelaskan secara ringkas dan mudah untuk difahami. Ini antara cara mudah yang anda boleh lakukan:

1. Tunjukkan ciptaan Allah

Beritahu anak anda yang langit, bumi, matahari, bintang, dan bulan adalah ciptaan Allah. Allah yang mencipta segala apa yang ada di langit dan dibumi. Ajarkan anak ucap “MasyaAllah” sekiranya anak suka dan teruja melihat ciptaan-ciptaan Allah.

2. Solat berjemaah

Solat adalah tiang agama dan perlu diterapkan dalam diri anak-anak sejak dari kecil lagi. Ibu bapa perlu tunjukkan rasa gembira dan bersemangat apabila masuk waktu solat. Ajak anak-anak solat berjemaah, dengan ini anak akan berasa pentingnya untuk menunaikan solat.

Sekiranya anak bertanya kenapa perlu solat? Katakan pada anak, “Allah suruh kita solat, bila rajin solat,  Allah sayang kita, nanti Allah bagi kita sihat, kenyang dan boleh main.

Anak anda tidak mahu solat bersama? jangan paksa! Tunjukkan anda sememangnya disiplin dalam menunaikan solat. Lama-kelamaan akan datang minat dalam diri anak  dan akan rasa satu kewajipan untuk menunaikan solat.

3. Ajarkan Al-Quran

Mengajar anak membaca Al-Quran juga bukan perkara mudah untuk ibu bapa. Seperti solat, anda perlu membaca Al-Quran setiap hari untuk menunjukkan contoh kepada anak yang anda mengikuti ajaran Allah S.W.T.

Ajar anak anda yang mudah dahulu seperti Iqra’ atau mengenal huruf-huruf Hijaiyah. Jika anak anda sudah lancar berkata-kata, ajarkan sedikit surah yang ringkas seperti Al-Fatihah. Tidak perlu sampai tepat tajwidnya, asalkan anak anda boleh mengikuti bacaan anda sudah memadai.

4. Ajar Salawat dan zikir yang ringkas

Kanak-kanak mudah terikut dengan alunan salawat dan zikir sekiranya diperdengarkan dengan kerap. Ajarkan anak salawat dan zikir yang ringkas. Katakan pada anak, kalau salawat setiap hari nanti Allah sayang.

5. Ajarkan doa-doa ringkas

Doa adalah salah satu cara mudah untuk mengajar anak mengenal Allah. Ingatkan kepada anak yang setiap apa yang dilakukan, kena ingat Allah. Makan, tidur, bangun tidur dan naik kenderaan adalah contoh doa-doa yang ringkas untuk anak belajar. Fasa awal, anda baca dan suruh anak ikut, selepas itu, galakkan pula untuk berlatih membaca.

6. Ajar erti bersyukur

Katakan pada anak, setiap apa yang diterima itu semuanya dari Allah. Allah yang bagi mainan, bagi makan, bagi kita sihat. Ajarkan anak mengucap “Alhamdulillah” setiap kali mendapat sesuatu.

7. Tonton animasi bercirikan Islamik

Teknologi video semakin maju dan anda boleh akses terus video-video animasi bercirikan Islamik. Video animasi Islamik adalah salah satu cara mudah untuk anak anda mengikuti, memahami dan mengenali Allah. Di youtube anda boleh search sahaja dan mendapati pelbagai jenis video animasi bercirikan Islamik yang sangat berguna kepada anak-anak.

Berikan masa yang tetap untuk anak tonton dan tidak berlebihan. Yang utama adalah tanggungjawab ibu bapa untuk mengajar dengan lebih praktikal supaya dapat menerapkan nilai hubungan keluarga bersama.

Untuk mengajar anak mengenal Allah tidak susah, pucuk pangkalnya, ibu bapa yang perlu memainkan peranan yang sangat penting dalam mendidik anak tentang ilmu Allah. Lakukan dalam rutin harian di rumah dan InsShaAllah, anak akan mula mendalami minat tentang Allah dan ajaran Islam.

Tegak iman kedua ibu bapa, tegaklah anak-anak yang mencontohi..

Foto Kredit : gimc.org.au

Telekung Kanak-Kanak Diadina, satu-satunya telekung solat Awning Silang dihasilkan untuk membantu si Comel anda sentiasa bersemangat setiap kali masuk waktu solat. Stok adalah TERHAD, dapatkannya segera! Klik di sini sekarang! atau hubungi kami di 018-3234483.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *