Jangan Tersilap! Ini Antara Cara Terbaik Yang Ibu Bapa Perlu Buat Ketika Anak Demam Panas

Semua ibu bapa pasti pernah mengalami masalah anak demam. Bila anak demam atau sakit, pasti tidak tenang melihat anak yang sebelum ini aktif bermain tiba-tiba terbaring lemah. Tetapi ramai ibu bapa yang menganggap jika suhu badan anak panas, biasanya terus mandikan dengan air sejuk untuk merendahkan suhu badannya. Awas! anda mungkin telah melakukan kesilapan. Artikel di bawah adalah perkongsian seorang doktor dari Penang mungkin dapat memberi manfaat kepada anda semua.

APA ITU DEMAM?

Demam adalah naiknya suhu badan dari suhu normal 36-37.5°C iaitu 37.5°C keatas. Demam sebenarnya sebagai pertahanan badan si bayi jika ada serangan bakteria atau virus. Ketika ini, suhu badan akan naik secara automatik kerana secara natural badan si bayi sedang aktif melawan infeksi itu.

Kita sebagai ibu bapa harus bertenang jika bayi itu tetap aktif bermain, minum dan makannya seperti normal. Tidak perlu berikan ubat penurun panas atau ubat demam. Biarkan saja tubuhnya bekerja secara alami.

CARA MENURUNKAN SUHU BADAN BILA DEMAM

Jika anda risau juga dan mahu turunkan suhu badan si comel, ini caranya;

Gunakan kain atau tuala kecil dibasahkan dengan air panas suam (Tepid Sponging) lalu diletakkan di dahi, perut, leher, ketiak dan celah paha. Air hangat suam ini dapat membantu pembuluh darah di kulit mengembang lalu membuka pori-pori dan memudahkan mengeluarkan suhu panas dari dalam tubuh.

Adalah satu kesilapan jika anda:
Gunakan air sejuk, air ais atau ketul ais sebab hal ini bukannya menurunkan suhu tubuh badan tetapi meningkatkan lagi suhu badan kerana air yang dingin menyebabkan pembuluh darah di kulit mengecut sehingga panas dibawa darah ke kulit terhalang.

Kebiasaanya, apabila demam ada yang suruh mandikan anak dengan air sejuk. Kasihan si comel sampai menggigil. Ini akan menyebabkan lagi naik suhu demamnya. Jika nak dijadikan sebagai eksperimen, cuba kita sebagai ibu bapa demam, anda terus pergi mandi air sejuk. Baru hendak pijak lantai bilik air pun dah menggeletar inikan pula nak mandi air sejuk?! Bayangkan kalau periuk panas yang hendak dibasuh pun akan berasap, apa yang biasa anda buat untuk tidak berasap ialah biarkan periuk itu sejuk terlebih dahulu, baru basuh, bukan?

Contoh diatas sudah cukup memberikan gambaran yang mandikan air sejuk untuk anak yang demam panas adalah tidak sesuai.

BERSELIMUT TEBAL KETIKA DEMAM

Elakkan dari menyelimuti si comel anda yang demam atau memakaikan baju yang agak tebal seperti jaket atau pakaian ketat yang boleh menghalang haba dari badan dibebaskan, ianya akan meningkatkan lagi suhu badan. Sebaiknya gunakan pakaian yang tipis dan longgar, yang dapat menyerap peluh sehingga suhu badan si comel menurun ke paras normal.

LEBIH KERAP MINUM AIR

Bila si comel demam, badan akan memaksa mengeluarkan cairan lebih banyak seperti peluh dan urin. Maka sebagai ibu atau bapa, anda haruslah rajin menyusu atau beri air yang banyak kepada si comel anda untuk mengelakkan dehidrasi. Lagi banyak cairan diberi, maka lagi banyaklah cairan yang keluar melalui urin yang juga akan menolong menurunkan suhu badan yang panas.

JANGAN GUNA AIR SEJUK!

Jika anda nak dimandikan juga bayi atau kanak-kanak yang demam panas, dibolehkan tetapi air yang digunakan haruslah air yang hangat suam. Jangan gunakan air sejuk. Dengan dimandikan dengan air yang hangat, tubuh akan menjadi segar dan nyaman. Setelah mandi, keringkan tubuh dengan kain tuala dan terus dipakaikan dengan pakaian.

TAK PERLU MAKAN UBAT JIKA ANAK MASIH AKTIF

Anak tidak perlu diberi makan ubat jika ia demam tetapi boleh makan, minum dan aktif seperti biasa. Hanya jeram atau jelum anggota badannya dengan air panas suam sudah memadai. Ubat hanya diberikan jika suhu badannya mencapai lebih dari 38ºC.

Kalau bayi atau anak anda demam berpanjangan lebih dari dua hari, kelihatan lesu, hilang selera makan minum, panas kejang, susah bernafas, muncul bintik merah atau biru di tangan, muntah, cirit birit, ini tanda infeksi kuman atau virus yang tubuh badan bayi tidak berupaya melawan. Segeralah bawa bayi atau anak anda berjumpa dengan doktor. Doktor akan siasat punca panas dan infeksi tersebut dan kemungkinan antibiotik diperlukan.

Adalah menjadi tanggungjawab setiap ibu bapa dalam memastikan anak sentiasa sihat. Sekiranya anak anda mengalami demam terlalu panas, jangan teragak-agak untuk bawa anak anda terus berjumpa doktor. Sebaiknya elakkan anak dari terkena sawan panas tarik disebabkan demam panas tersebut.

Jangan terlalu mengikut kata-kata atau nasihat orang. Sebaiknya tanya lah pada doktor untuk mendapatkan nasihat yang sewajarnya. Semoga perkongsian ini dapat memberikan manfaat kita bersama.

Sumber artikel : Facebook Dr. Abdul Rahim Noor
Foto Kredit :  verywell.com

Telekung Kanak-Kanak Diadina, satu-satunya telekung solat Awning Silang dihasilkan untuk membantu si Comel anda sentiasa bersemangat setiap kali masuk waktu solat. Stok adalah TERHAD, dapatkannya segera! Klik di sini sekarang! atau hubungi kami di 018-3234483.

Comments

  1. Tyra Portell says:

    Mas, Terima kasih sudah berbagi. Anak-anak demam memang bikin kita jadi khawatir. Saya juga menulis tentang ini di blog saya

    1. diadina says:

      Sama-sama, moga info ini dapat beri manfaat pada Puan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *